wlcome..

ApeSal

Saturday 30 July 2011

Bulan Yang Dinanti-nantikan telah menjelma.



ramadhan bakal menjelma, tidak lama lagi. samada pada satu september atau yang keduanya. bagi mereka yang bakal menjalankan ibadah khusus untuk Allah ini di bumi Australia, ini akan jadi pengalaman pertama seumpamanya dalam hidup berpuasa di rantau asing. sungguh, inilah tetamu yang dinantikan lebih daripada bulan-bulan yang lain. dalam bulan inilah segala amalan digandakan Allah dengan sebanyaknya, bergantung kepada kemahuan dan kehendak kita.
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa [TMQ:2:183]
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah ‘azzawajalla berfirman dalam Hadis qudsi: “Semua amal perbuatan anak Adam (yakni manusia) itu adalah untuknya, melainkan berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku akan memberikan balasan dengannya. Puasa adalah sebagai perisai dari kemaksiatan serta dari neraka. Maka dari itu, apabila pada hari seseorang di antara engkau semua itu berpuasa, janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seseorang atau dilawan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya saya sedang berpuasa.” Demi Zat yang jiwa Muhammad ada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, nescayalah bau bacin dari mulut seseorang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi. Seseorang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan dan ia dapat merasakan kesenangannya, iaitu apabila ia berbuka, ia pun bergembiralah dan apabila telah bertemu dengan Tuhannya, iapun gembira dengan adanya amalan puasanya.” (Muttafaq ‘alaih)
berpuasa itu wajib ke atas setiap ummat Islam mukallaf yang mampu serta beraqal. kerana, apabila ia sudah mukallaf, maka pertanggungjawaban mendiri dan menegakkan syari’at Allah itu wajib baginya. yang mampu, kerana ada orang yang akan menghadapi keuzuran. manakala, orang yang kurang waras atau gila tidak wajib baginya puasa. sebagaimana yang kita dapat baca dalam hadith yang panjang di atas, bagaimana utamanya ibadah puasa di sisi Allah, sehinggakan Allah berfirman dalam hadith Qudsi, bahawa semua amalan anak-anak Adam, adalah untuk mereka sendiri kecuali puasa, di mana ia adalah untuk-Nya.


daripada Abdullah ibn Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda; bulan itu boleh jadi 29 malam (hari), dan janganlah berpuasa selagi mana kamu tidak melihat anak bulan, dan kalau langit itu kelam, maka sempurnakanlah bulan sya’aban 30 hari. (riwayat Bukhari)
hadith di atas menjadi wasilah atau metod kepada bemulanya ibadah puasa di bulan ramadhan. dengan melihat anak bulan, dan sekiranya langit tersebut kelam, maka Sya’aban perlulah digenapkan 30 hari.
puasa di ramadhan ada disebut akan keutamaan-keutamaannya dalam hadith baginda nabi SAW. saya catatkan beberapa riwayat daripada baginda sebagai perkongsian dan makluman buat kita;
Dari Abu Said r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada seorang hamba pun yang berpuasa sehari dengan niat fi-sabilillah – yakni semata-mata menuju kepada ketaatan kepada Allah, melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya (yakni dirinya) kerana puasanya tadi, sejauh perjalanan tujuh puluh tahun dari neraka.” (Muttafaq ‘alaih)
Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkanlah untuk dosa-dosanya yang terdahulu.” (Muttafaq ‘alaih)
Dari Abu Hurairah r.a. pula bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila bulan Ramadhan telah datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.” (Muttafaq ‘alaih)
saya kongsikan juga keistimewaan bulan ini, sebagaimana yang kalian tahu dan maklum mengenai peristiwa-peristiwa mengenai bulan ini;
  1. al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan
  2. disunatkan Solat Sunat Tarawih (hanya di bulan ramadhan)
  3. adanya lailatul qadr pada sepuluh malam terakhirnya
  4. terjadinya peperangan pertama umat Islam, yakni, Perang Badr
  5. Mekkah dibuka semula oleh orang Islam
  6. pintu-pintu syurga dibuka, dan pintu-pintu neraka ditutup
mengikut sunnah nabi untuk menyempurnakan ramadhan;
  1. bersahur (tetapi dilambatkan) kerana dalamnya ada berkat (Bukhari dan Muslim)
  2. segerakan berbuka apabila masuk waktu (Bukhari, Muslim dan Tarmizi)
  3. membaca al-Quran (Bukhari dan Muslim)
  4. menjaga lidah dari percakapan keji (Bukhari)
  5. tidak cepat marah (Bukhari dan Muslim serta penulis sunan sittah yang lain)
  6. menjaga diri daripada dikuasai syahwat yang pelbagai
  7. berbuka dengan makanan yang halal
  8. bersedekah dan berbuat kebajikan
  9. dan lain-lain yang menepati syara`
sebagaimana yang kita maklum, ada perkara yang membatalkan puasa, namun kita jarang teringat bahawa adanya perkara yang dilarang baginda nabi sebelum menjelang ramadhan;
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: “Janganlah seseorang di antara engkau semua itu mendahului Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari, kecuali kalau seseorang itu biasa berpuasa tepat hari puasanya, maka hendaklah ia berpuasa pada hari itu.” (Muttafaq ‘alaih)
hadith di atas melarang kita mendahului puasa kita dengan puasa sehari atau dua sebelum menjelang ramadhan, melainkan sekiranya ia menjadi kebiasaan kita untuk berpuasa, contohnya ialah puasa isnin dan khamis. katakan, kebetulan puasa jatuh hari jumaat, sedang dia berpuasa pada hari khamis, kerana kebiasaannya, maka ia adalah dibenarkan.
sungguh banyak hadith mengenai berpuasa disebutkan atau dirakamkan dalam kitab Riyadhus Shalihin, tinggal lagi untuk kita menyelaknya dan membacanya sahaja. ada disebutkan larangan, kelebihan, keutamaan dan pelbagai lagi.
in sya Allah dalam bulan Ramadhan yang bakal menjelang ini, ia seumpama satu tempoh tarbiyyah buat kita semua. di mana ia mengajar kita bagaimana untuk mengawal nafsu makan, minum. bagaimana mendidik diri untuk membiasakan diri dengan solat malam seperti tarawih, witir dan bangun untuk qiyamullail. bulan ini ganjarannya Allah lipat gandakan bagi kita akan amalan-amalan ibadah. maka janganlah sia-siakan bulan rahmat dan berkat ini dengan perbuatan, perkataan yang sia-sia. kepada yang tidak biasa menutup aurat, jadikan juga bulan ini sebagai satu latihan (terasa nak lancarkan kempen menutup aurat pula) mendidik diri untuk lebih malu kepada Allah.
yang membiasakan diri dengan perbuatan sia-sia seperti melepak, berpeleseran di pusat hiburan atau beli belah, sibukkanlah diri dengan amal, sekalipun bertandang di masjid barang sebentar untuk bersolat sunat. kita perkayakan ibadah kita dengan membaca al-Quran, dan membanyakkan meratib zikir mengingat Allah sambil memohon keampunan-Nya. sungguh, masih sempat bagi kita untuk meminta taubat dari-Nya, selagi mana pintu taubat tidak di tutup pada dua ketika; iaitu ketika roh berada di tenggorokan (sakaratul maut) dan ketika matahari terbit daripada barat.
saya mengambil peluang ini untuk memohon ribuan kemaafan bagi kalian yang pernah saya lakukan kesilapan, marilah kita bersama sucikan hati dan jiwa untuk menyediakan diri menghadap Allah dengan ibadah kita. Allahu yubarikkum fik.
marhaban ya ramadan

No comments:

Post a Comment