dipetik dari IluvIslam.com
Mungkin apa yang ingin aku sampaikan ini adalah perkara biasa bagi sesetengah individu. Namun, aku harapkan moga pengalaman hidup ini dapat dijadikan iktibar dan titik tolak perubahan insan yang membacanya. Insya-Allah.
Aku berasal daripada keluarga yang serba kekurangan... makan, minum dan pakaian jauh sama sekali seperti rakan-rakan yang lain. Mungkin ini yang menyebabkan aku kurang mempunyai sahabat yang dapat mendengar keluh-kesah hidupku. Seingat aku, hanya ada tiga insan yang teramat penting dan bermakna dalam hidup pada waktu itu, ibu, kakak dan abang Cik. Mereka antara insan kurniaan Tuhan yang sentiasa menjadi tempat untukku bergurau dan berjenaka. Sahabat? Saat itu aku masih belum memahami makna di sebalik perkataan itu.
Aku masih ingat ketika saat aku ingin melanjutkan pelajaran ke Matrikulasi. Dengan berbekalkan duit hasil daripada pemberian saudara terdekat, aku membawa diri menuju ke sebuah negeri yang sebelum ini belum pernah ku jejaki. Keseorangan diri, bukan bersama keluarga seperti insan dan rakan-rakanku yang lain. Aku masih ingat kata-kata arwah ibu beberapa hari sebelum keberangkatanku.
"Alif tak payah pergilah Kedah. Kalau mak sakit ke, mati ke, Alif takkan sempat jumpa mak.."
Kata-kata yang pada waktu itu sukar untukku tafsirkan dengan logik akal. Apa yang penting bagiku pada waktu itu ialah dapat melanjutkan pelajaran walau sejauh mana pun kaki ini perlu melangkah. Benak hati terfikir, mungkin ibu risau tentang perjalanan aku nanti. Jauh, dari Pahang menuju ke Kedah mengambil masa 10 jam dengan menaiki bas. Seorang diri pula.
"Allah ada ibu, Allah ada..."
Alhamdulillah, dengan bekal hanya Iman dan tawakal, akhirnya sampai juga kaki ini ke medan perjuangan ilmu bergelar Kolej Matrikulasi Teknikal Kedah. Melihat rakan-rakan yang datang bersama keluarga, tergambar betapa gembiranya perasaan mereka. Bertuah mereka, patut bersyukur pada Ilahi. Ibu dan ayah mereka senang, ada kereta untuk membawa anak tersayang menuju ke medan perang. Ayah aku? Hmm... teringat pula kereta lamanya yang tersadai di depan rumah. Ayah selalu bertarung dengan kereta kesayangannya itu. Sekali sekala syukur jika kereta itu dapat dihidupkan, tetapi selalunya memang sukar mendengar dentuman enjin daripadanya.
Harapan aku hanyalah satu, aku ingin memiliki satu-satunya angka yang cukup dikejar oleh pelajar ketika itu, 4.0 flat. Doa dan usaha aku gandakan dari hari ke hari demi mengejar kejayaan tersebut. Teringin sekali membawa balik angka tersebut dan menunjukkannya pada ibu. Walaupun ibu mungkin tidak mengerti apa makna di sebalik angka itu, cukuplah dapat melihat senyuman di wajahnya tatkala aku mengatakan aku antara pelajar cemerlang di kolej ini. Harapan itu aku simpan dan semat di dada. Adakah peristiwa itu akan telah tertulis di Lauh Mahfuz? Sungguh, Tuhan lebih mengetahui.
Aku masih ingat hari itu, hari Khamis. Aku keluar dari bilik kuliah dan menuju ke kantin. Aku cuba meraba-raba poket, mencari sekiranya masih ada sisa-sisa wang yang masih tinggal. Harapanku hancur, poketku kosong. Duit elaun telah habis aku gunakan untuk membeli barang-barang untuk menghadapi kuliah dan peperiksaan nanti. Dengan niat berpuasa, aku melangkah longlai menuju ke arah bilik. Mataku masih memandang rakan-rakan yang sedang enak menjamu selera masing-masing. Kalau ikutkan nafsu, ingin saja aku pergi ke arah mereka dan meminjam wang seperti sebelum ini. Namun bila memikirkan hutang yang masih tidak dapat aku langsaikan, aku mengalah. "Minum air paip lagi hari ni," desis hati kecilku.
Salah satu cara untuk aku menghilangkan rasa lapar adalah tidur. Cara itulah yang sering aku lakukan sejak daripada kecil lagi. Keluarga yang miskin menyebabkan kami sekeluarga sering menahan lapar sehingga berhari-hari lamanya. Mungkin sebab itu puasa tidak menjadi satu masalah buatku. Berlapar di siang hari sudah menjadi rutin waktu kecilku. Malam? hanya minum air paip dan terus tidur.
Aku melemparkan badan yang kian penat di atas katil dan cuba untuk lelap. Peliknya pada hari itu, aku mudah melelapkan mata, tidak seperti selalu. Dalam tidur, aku bermimpi perkara yang amat aneh sekali. Bayangkan, dua buah kotak masing-masing berada di sebelah kiri dan kanan. Lalu dua kotak itu bergerak menuju ke tengah antara kiri dan kanan, bercantum menjadi satu kotak. Setelah lama kemudian, hanya salah satu kotak sahaja yang kembali ke tempat asalnya tadi iaitu di sebelah kanan sedang kotak yang asalnya berada di sebelah kiri masih kekal ditengah-tengah.
Aku tersentak dengan deringan telefon bimbit yang berada di sisi. Dengan mata yang kurang jelas kerana tidak memakai cermin mata, aku melihat nombor yang tertera di skrin telefon. Ni nombor ayah, desis hati. Tanpa berfikir panjang aku terus menjawab panggilan tersebut. Eh, kenapa suara abang aku yang keluar ni? Mungkin talian di sana tidak berapa baik, sebab itu suara ayah dah macam suara abang, fikirku.